Friday, 15 March 2013

m-4(5): Buat negeri baru ke?

Salam sejahtera.

Pada kali ini saya ingin menceritakan tentang isu pengaruh pelbagai dialek.

Saya berasal dari Sabah. Ketika memasuki Universiti Pendidikan Sultan Idris, saya terkejut dengan dialek yang sangat pelbagai. Namun saya sendiri menggunakan dialek Sabah ketika bertutur dengan rakan-rakan. Kami mendapati agak sukar untuk memahami perbualan masing-masing kerana dialek yang agak pekat. Tambahan pula, rakan-rakan saya menyatakan bahawa saya bercakap dengan cara yang laju. Oleh itu, saya mula mempelajari serba sedikit dialek mereka. Oleh kerana rakan-rakan saya terdiri dari pelbagai negeri, maka saya mempelajari beberapa dialek. Masalahnya, saya telah mencampur adukkan dialek tersebut.

Antara ayat-ayat yang selalu saya gunakan:

- Hang nak gi mano ni?
- Kome dah make ke?
- Cheq nak bagitau kat hang.
- Gapo dio?
- Cheq dok tau ah.

Suatu hari, rakan saya menegur saya.

Rakan aku: Rozai guna dialek apa ni?. Aku dengar ada dialek Kelantan, utara, Perak. Rozai buat negeri baru ke?

Aku hanya mampu ketawa.

Inilah padahnya jika cuba mencampur adukkan dialek. Gunalah bahasa standard.

Sekian.


m-4(4): Periksa lagi?

Salam sejahtera.

Ketika datang ke Perpustakaan Tuanku Bainun sebentar tadi, seperti biasa saya akan melalui peeriksaan di pintu. Oleh kerana pada minggu lepas saya telah ditahan, maka pada minggu ini saya telah menukar beg saya. Pada kali ini, saya yakin beg saya tidak akan dipertikaikan lagi. Sementararakan saya menyimpan beg di tempat penyimpanan barang, saya masuk dahulu dan diperiksa oleh seorang kakak. Seperti jangkaan, saya memang tidak ditahan. Selepas diperiksa, saya menanti rakan saya berhampiran kaunter pemeriksaan sambil melihat pelajar-pelajar yang lain diperiksa. Beberapa minit kemudian, rakan saya masuk. Kami berjalan menuju ke pintu.

Pemeriksa: Eh! Adik baru nak masuk ke? Kenapa tak periksa beg dulu?

Aku: Tadi kan dah periksa kak.

Pemeriksa: Bila?

Aku: Baru tadi. Sebelum akak periksa lelaki berbaju merah tu.

Pemeriksa: Jadi kenapa tak masuk terus? atau awak keluar balik?

Aku: Saya tunggu kawan kak. Tadi saya berdiri dekat rak tu.

Pemeriksa: Oh. Minta maaf. Tak nampak tadi.

          Saya dan rakan saya terus masuk ke dalam perpustakaan.

Kawan aku: Setiap kali awak lalu depan tu mesti kena tahan. (sambil gelak )

Aku: Nasib badan. Haha.


Sekian

m-4(3): Kedah vs Kelantan

Salam sejahtera.

Perbezaan loghat kadang kala membuatkan kita tersalah faham. Apatah lagi jika kita berada bersama rakan-rakan dari pelbagai negeri.
Apa akan terjadi apabila masing-masing hendak bercakap menggunakan loghat negeri sendiri?


Orang Kedah sedang berbual-bual dengan orang Kelantan,
tiba-tiba seekor ular datang.

Kelantan: ulor! ulor!

Kedah: Ya, Allah! katok (pukul)! katok!

Kelantan: dok, buke katok (katak), ulor!

Kedah: tau la... katok la, lekaih (cepat)!

Kelantan: looo... buke katok! ulor lah! ulor!

Kedah: aku tau la ulaq, ambik la kayu katok! aku katok pala hang satgi!!!

Ini lah yang akan terjadi apabila masing-masing bercakap dengan loghat negeri. Maka, adalah sangat penting bagi kita untuk menguasai bahasa Melayu standard bagi memudahkan kita berkomunikasi dengan orang dari pelbagai negeri.

Sekian.



m-4(2): "bergaya jak semua yang lain"

Salam sejahtera.

Entri pada kali ini berkenaan dengan isu lewat.

Pada hari Rabu yang lalu, kelas Prosa Melayu telah menyertai Seminar 6 Sasterawan Negara di Universiti Putra Malaysia (UPM). Pensyarah telah berpesan bahawa bas akan bergerak pada jam 7 pagi. Oleh itu, semua pelajar diminta untuk berada di tempat menunggu yang telah ditentukan sebelum jam 7 pagi.

Ketika kami sampai di tempat menunggu pada jam 6.50 pagi, pensyarah telahpun berada di sana. Kami dapati masih tidak ramai yang berada di sana.

Jam 7.20 pagi, bas masih tidak bergerak kerana terpaksa menanti rakan-rakan sekelas yang belum sampai.

Saya memberikan pesanan ringkas kepada seorang rakan saya yang menanti di Kolej Ungku Omar (KUO).

" June, kamu sudah naik bas?"

" Sudah, tapi tak gerak lagi. Ramai yang belum sampai."

" Oh, di sini pun sama juga."

" Bosan dah menunggu. Saya dah sejam lebih tunggu ni. Bergaya jak semua yang lain!"

"Haha. Kamu tunggu sejak jam berapa?"

" Sejak jam 6.10 pagi."

" Awalnya."

" Janji ditepati kan."

Jam 7.40 pagi, bas bergerak dan masing-masing menarik nafas lega sambil berharap tidak akan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Kesimpunlannya, hormati diri sendiri dan hargailah masa. Jangan biarkan orang lain menanti terlalu lama.

Sekian.


m4-1: "Tahu makan cabai tak??"

Salam sejahtera.
Entri saya pada kali ini berkaitan dengan cabai. Apa itu cabai?.

Pada malam Isnin yang lalu, kawan serumah saya ( kak Bihan dan kak Attyn ) telah mengajak saya untuk makan malam bersama. Selesai makan malam, saya dijamu pula dengan buah nenas yang dihidang bersama kuah sos asli Kedah. Ketika sedang makan, terkeluar pula perkataan cabai.

Kak Attyn: Pedas lah kuah ni Bihan.

Kak Bihan: Tapi sedap kan?. Eh! Rozai makan cabai tak??

Aku: (dengan wajah bingung) Cabai tu apa kak?

        Kak Attyn tergelak besar.

Kak Bihan: Eh, akak lupa Rozai dari Sabah. Hahaha. Cabai tu cili. Rozai panggil cili kan?.

Aku: Oh. Ya, kami panggil cili.


Setiap negeri menggunakan istilah masing-masing. Maka, kita sebagai satu negara yang kaya dengan istilah-istilah ini perlu tahu serba sedikit tentangnya.

Sekian.


Friday, 8 March 2013

m-3(5): beg laptop je dik.

Salam sejahtera.

Entri pada kali ini berkaitan dengan Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB), UPSI.

Saya telah pergi ke PTB untuk membuat tugasan. Seperti biasa, saya membawa beg sandang yang dipenuhi dengan komputer riba, buku-buku, dompet dan alat tulis. Ketika di kaunter pemeriksaan, beg saya diperiksa oleh seorang wanita.

Pemeriksa: dik, beg laptop je yang dibenarkan masuk. Beg adik ni bukan beg laptop.
Aku: Tapi kak, ini lah beg laptop saya. Tengok ni laptop saya (dalam beg).

Pemeriksa: sebenarnya ini bukan beg laptop adik. Tapi takpe lah, yang penting takde makanan dalam ni (sambil memeriksa beg saya).

Aku: Maaf ye kak. Terima kasih.

Saya kurang pasti bagaimana beg komputer riba yang mereka maksudkan. Apakah beg khas untuk komputer riba sahaja atau apa-apa beg yang boleh dimasukkan komputer riba seperti beg saya.


Sekian.



m-3(4): Sekejap cakap English, sekejap cakap Melayu

Salam sejahtera.

Semalam, saya secara tidak sengaja terbuka satu gambar di google.



Gambar ini membuatkan saya terfikir, betapa kuatnya pengaruh bahasa asing sehingga mampu menyebabkan terbentuknya satu bahasa yang dipanggil bahasa rojak.

Ketika saya dan cikgu sekolah menengah saya  berjalan-jalan di pasaraya semasa cuti semester yang lalu, saya mendapati golongan remaja yang sedang melepak di pasaraya itu semuanya menggunakan bahasa rojak sebagai bahasa pertuturan mereka. Ketika saya menyuarakan hal ini kepada cikgu saya, beliau mengatakan bahawa di sekolah juga tidak kurang pelajar yang menggunakan bahasa tersebut semasa proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Saya berfikir mungkinkah suatu hari nanti bahasa rojak ini mampu merampas kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan?. Tidak mustahil perkara ini akan terjadi sekiranya tidak dibendung dengan segera. Golongan kanak-kanak seawal usia tiga tahun juga sudah terpengaruh dengan penggunaan bahasa ini.

Saya terbaca pula satu petikan dari seorang blogger yang berbunyi seperti ini;

" Aku rasa Amazing Race lebih best dari Explorace ni. At least Amazing Race semua sama rata, clue dia lebih straight to the point. Cuma aku tak fahamlah kenapa TV3 suka semua pengacara dia cakap rojak. Sekejap cakap English, sekejap cakap Melayu. Kalau nak in English, buatlah in English all thru the way. Ni kesian host kena tukar-tukar. Host dia ok juga. Cuma bahasa aku tak suka. Macam si Ari  pulak masa mengacara muzik-muzik menyampah aku! Aku rasa the other team is much better tapi terlalu banyak mistake. Yang menang last night tu lucky. So takde istimewa sangat explorace. Lain dengan amazing race di mana you can learn from your mistake. Sebab kebanyakkan yang menang amazing race memang pernah buat mistake and terkadang sikit lagi kena eliminate."

Pada pandangan saya, cara penulis ini menegur tentang penggunaan bahasa rojak kurang tepat kerana dia sendiri menggunakannya.

Cintailah Bahasa Kebangsaan Kita.
1 Bahasa 1 Bangsa 1 Negara.

Sekian.

Thursday, 7 March 2013

m-3(3): Kelmarin dan Semalam

Salam sejahtera.

Pada kali ini saya ingin menceritakan kisah di dalam kelas subjek A pada hari Jumaat yang lepas. Kelas subjek A ini adalah pada hari Rabu dan Jumaat.

Pensyarah: Ini kumpulan apa?

Kelas: A.

Pensyarah: Kelas 2jam kumpulan ini kelmarin ke?

Kelas: Bukan doktor. Hari Rabu.

Pensyarah: Hah, kelmarin le tu.

Kelas: Kelmarin hari Khamis doktor.

Pensyarah: Itu semalam.

Kelas: Semalam tu malam tadi doktor.

Pensyarah: Perak maksudkan semalam tu sehari lepas. Kelmarin tu dua hari lepas.

Kelas: 0oohh..

         Perak: Kelmarin= dua hari lepas
                    Semalam= sehari lepas

Kesimpulannya, ketika bercakap dengan orang Perak. Pastikan penggunaan istilah kelmarin dan semalam difahami dengan betul.


Sekian.

m-3(2): Siang ikan??

Salam sejahtera.

Entri ini masih berkaitan dengan perbezaan istilah antara negeri. Pada kali ini antara Sabah dan Perak.

Semester ini, saya dan rakan saya Ema telah berpindah tempat tinggal ke Taman U Baru. Kami sangat seronok kerana dapat memasak. Hari pertama masuk ke rumah, kami sudah bersedia untuk memasak bagi makan malam. Kami bercadang untuk memasak ikan masak asam pedas. Jam pada waktu itu menunjukkan tujuh petang.

Ema: Rozai, tolong siang ikan tu.

Aku: Siang ikan? nak buat apa?
        Mana ada matahari sekarang ( sambil melihat ke luar ).

Ema: Nak buat apa matahari?

Aku: Tadi awak kata siang ikan. Macam mana nak siang ikan tiada matahari?

Ema: Oi! Maksud aku bersihkan ikan tu bukan nak jemur. Hahahaha ( sambil tergelak kuat )

Aku: ( Sambil turut tergelak ) Aku ingat siang tu jemur.

Kesimpulannya, kadangkala kita akan tersalah anggap sesuatu perkara itu disebabkan istilah yang berbeza. Oleh itu, adalah lebih baik kita bertanya dengan lebih terperinci dahulu sebelum melakukan atau menyuarakan sesuatu.

Sekian.

m-3 (1): rojak dan pasembor??

Salam sejahtera.
Kepelbagaian dalam negara kita sememangnya telah membawa satu variasi bahasa yang cukup unik. Ini bukan hanya  dilihat melalu perbezaan bangsa itu sendiri malah perbezaan dialek dan istilah antara negeri.
Entri ini berkaitan dengan perbezaan istilah yang digunakan antara negeri Perak dan Penang.

Cerita ini berlaku pada semester yang lalu ketika saya dan rakan-rakan serumah (Ema dan Syafa) berbual tentang makanan.

Ema: Aku teringin sangat nak makan pasembor.

Aku: Pasembor tu apa? (tak pernah dengar pasembor sebelumnya)

Ema: Rojak.

Syafa: Eh! Rojak tu bukan pasembor la. Rojak tu rojak buah. Pasembor tu pasembor.

Ema: Pasembor tu rojak. Rojak buah tu rojak buah.

Aku: Korang cakap apa ni? (bingung seketika)

Ema: Aku maksudkan pasembor tu rojak.

Syafa: Kat Penang rojak tu rojak buah.

           Maksudnya, pasembor di Perak dan pasembor di Penang adalah berbeza.

Rojak Penang

Pasembor perak

Kesimpulannya, perbezaan istilah tetap berlaku antara negeri walaupun dalam bangsa yang sama.

Sekian.

Sunday, 3 March 2013

Awal Kata Pembuka Bicara

Salam sejahtera. Saya Rozainey Sintinggon pelajar semester 4 jurusan bahasa Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Ini adalah blog saya bagi memenuhi keperluan tugasan ilmiah individu subjek Sosiolinguistik. Blog ini berkaitan dengan bahasa dalam masyarakat.