Friday, 19 April 2013

m-5(4): Budi bahasa budaya kita..

Salam sejahtera.


Malam tadi, saya dan kawan-kawan makan di gerai yang terletak di pekan Tanjung Malim. Terlalu ramai orang yang menjamu selera sehingga kelam kabut para pekerja di gerai tersebut. Semua meja dan kerusi penuh dan keadaan menjadi begitu sesak sehingga menimbulkan ketidakselesaan para pelanggan yang sedang menjamu selera. Agak lama kami menunggu hidangan sampai. Setelah menunggu lebih kurang sejam setengah, barulah makanan yang dipesan sampai.

    Ketika sedang menjamu selera, kami dikejutkan dengan suara seorang perempuan berpakaian baju rasmi KHAR sedang memarahi pekerja gerai tersebut.

        “ Awak pekak ke apa tadi hah! Saya tak order makanan ini semua tadi! Saya order mee hailam! Awak bawa mihun dan tomyam ni kenapa? Teruk betul service kat sini! Baik blah je!” Dengan suara yang lantang perempuan itu melontarkan perkataan yang sungguh tidak enak itu di hadapan ramai orang.

         Pekerja itu kelihatan terpinga-pinga dan kelihatan sangat malu kerana dimarahi sebegitu di hadapan ramai orang. “ Maafkan saya cik, saya tersalah ambik order tadi. Cik tunggu sebentar ye, saya ambikkan order cik di dalam” kata pekerja itu dengan penuh sopan santun.

           “Tak payah! Saya nak balik sekarang! Service sangat teruk! Saya takkan makan di sini lagi!” kata perempuan itu dengan lagak biadabnya.

      Saya berasa sangat geram dengan perangai pelajar perempuan itu. Langsung tiada budi bahasa dalam kata-katanya. Beginikah contoh bakal guru yang akan mendidik anak bangsa? Saya berasa sungguh terkilan dengan sikap pelajar tersebut. Kami semua menggelengkan kepala melihat kelakuannya kerana tidak menyangka ada juga sikap sebegitu rupa.

         Bahasa kasar seperti yang dilontarkan oleh pelajar tersebut sungguh tidak wajar digunakan apatah lagi digunakan di hadapan khalayak ramai. Kita seharusnya berhati-hati dengan apa yang kita tuturkan. Kita perlu sentiasa menjaga percakapan kita agar tidak menyakiti perasaan orang lain dan menimbulkan ketegangan. Lemah lembut dan bersopan dalam bertutur kata tidak akan merendahkan harga diri remaja, sebaliknya menambahkan rasa hormat orang lain terhadap kita dan mengeratkan ukhuwah antara sesama insan.



Yang kurik itu kundi,
 Yang Merah itu saga,
 Yang cantik itu budi,
 Yang indah itu bahasa.

Sekian.

No comments:

Post a Comment