Tuesday, 30 April 2013

m-6(2): Bahasa SMS remaja sekarang...


Salam sejahtera.

Sistem pesanan ringkas (SMS) merupakan medium penghubung yang menggunakan simbol, kod dan perkataan singkatan yang dikatakan telah merosakkan penguasaan bahasa dalam kalangan masyarakat. Hal ini kerana bahasa SMS bukan sahaja menggunakan perkataan singkatan tetapi ia juga mempunyai unsur-unsur campuran antara bahasa Melayu, bahasa Inggeris, dan bahasa daerah atau dialek. 

Penggunaan bahasa SMS ini digemari kerana pengirim maklumat dapat menyampaikan maklumat dengan cepat dan mudah. Walaubagaimanapun, penggunaan SMS pada masa kini sudah tidak mendukung fungsinya sebagai satu sistem pesanan yang ringkas. Ini kerana mereka telah mengubahnya daripada maklumat dalam bentuk singkatan kepada sistem ejaan yang tidak relevan dan tiada dalam sistem bahasa Melayu.

Contoh ayat:

' Hyew, awucks titew nuck knal ngn awucks niy. Boyeh ta? anganlew cmbng ngn itew niw.'

' Hyew, da mam kew..? Ey, sajew jew awk niw..'


Perhatikan sistem ejaan yang digunakan;

Awak : Awucks

Kita : titew

Nak : nuck

Boleh : boyeh

Janganlah : anganlew

Sombong : cmbnd

Dengan : ngn

Makan : mam

Saja : sajew

Oleh itu, sebagai golongan remaja yang bakal menerajui pucuk pimpinan negara kita seharusnya mampu mengekalkan penggunaan sistem bahasa yang betul dna mengelakkan penggunaan sistem bahasa yang mampu mencemarkan sistem bahasa Melayu.

Sekian.

m-6(1): Gunakan 'bah' dengan betul..

Salam sejahtera.

Entri saya pada kali ini berkaitan dengan penggunaan 'bah' dalam kalangan masyarakat yang bukan berasal dari Sabah. Setiap universiti di Malaysia pastinya terdiri daripada pelajar yang beasal dari pelbagai negeri. Di UPSI, ramai rakan-rakan yang cuba meniru penggunaan perkataan 'bah' tanpa menyedari konteks mereka tidak sesuai. Perkataan ini digunakan dalam beberapa konteks seperti berikut:


1) Kata penyudah untuk menguatkan ekspresi kata.

Contoh ayat:
 Iya bah. - Iyalah.

2) Kata tambah pemula untuk memulakan percakapan. Selalunya digunakan pada permulaan kata.

Contoh ayat:
Bah, kamu pigi lah dulu - Kamu pergilah dulu.

3) Memberi maksud bersetuju, atau penghabis kata. Pengganti dalam bahasa Melayu ialah "Baiklah", atau "Begitulah".

Contoh ayat BM Sabah:
"Boy, nanti ko pigi beli baras di sana kadai." Boy menjawab, "Bah."
- "Boy, nanti pergi beli beras di kedai." Boy menjawab, "Baiklah"

4) Untuk menegur atau menyapa orang. Lazimnya orang sabah akan menyebut "Bah" bila berselisih dengan orang yang dikenali untuk tujuan menyapa orang tersebut.

Contoh-contoh ayat:
1."Ko orang KL bah kan?"
2."Sejuk bah ni air"
3."Awal lagi bah ni"


Konteks penggunaan 'Bah' yang salah

Masyarakat Sabah sememangnya sinonim dengan perkataan "BAH" yang begitu unik. Mari kita menghayati dan renungi konteks penggunaan "BAH" yang salah dalam ayat-ayat ini:

1. "Apa kabar bah?"-kononnya ingin bertanyakan khabar. (Ini salah)
2. "Suda makan ka bah?" (Aneh.)
3. "Bila balik bah?" (Tak betul juga)

Kesimpulannya, sila gunakan perkataan 'bah' dalam konteks yang betul. Penggunaan 'bah' yang tidak sesuai akan menyebabkan ayat kedengaran pelik.

Sekian.


m-5(5): Bahasa ibundaku..


Salam sejahtera.

Entri pada kali ini berkaitan dengan bahasa  ibunda saya iaitu Bahasa Dusun. Bahasa ini merupakan bahasa ibunda bagi etnik Dusun iaitu salah satu etnik di Sabah. Pada masa kini, bahasa ini semakin jarang dituturkan oleh kaum muda etnik Dusun. Ini kerana mereka tidak mengetahui malah tidak didedahkan kepada bahasa ini. Hanya kaum muda d bahagian luar bandar dan pedalaman yang masih dapat menuturkan bahasa ini dengan baik. oleh itu, di sini saya ingin ketengahkan beberapa perkataan bahasa Dusun yang sering digunakan dalam perbualan seharian.

Toi Gia?              :               Betul kah itu?
Kada koti            :               Jangan
Ma’an nopo        :               lakukan sahaja
Ok nopo             :               saya ok
Soorou                :               Ini lebih baik dari tiada
Siou dia               :               minta maaf
Intagal                 :               tak perlu
Kopio boh?         :               betulkah?
Ula’noh               :               cukup
Tingkod               :               berhenti
Bah, ikah.            :               giliran awak pula
Isai?                    :               siapa?
Isai koh?             :               siapa awak?
Yoho/ yoku         :               saya
Dati/ daton          :               kita punya
Sala’                   :               salah
Koikum-ikum      :               memalukan

                Perkataan-perkataan di atas merupakan antara perkataan yang sering digunakan dalam perbualan seharian. Sebagai anak jati Dusun, saya bersyukur kerana saya dapat bertutur dalam bahasa ibunda saya sendiri. Jika dibandingkan dengan remaja masa kini, bahasa Dusun yang digunakan sudah menjadi bahasa rojak kerana bercampur dengan bahasa lain seperti Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Pada pandangan saya, walaupun bahasa ibunda kita bukanlah bahasa yang bersifat global namun kita tidak harus mengetepikannya. Ini kerana bahasa ibunda ini  menjadi bahasa yang menentukan jati diri kita sebagai satu etnik yang wujud disamping banyak etnik yang lain. Warisan nenek moyang harus dipelihara dan diteruskan.

Sekian.



Friday, 19 April 2013

m-5(4): Budi bahasa budaya kita..

Salam sejahtera.


Malam tadi, saya dan kawan-kawan makan di gerai yang terletak di pekan Tanjung Malim. Terlalu ramai orang yang menjamu selera sehingga kelam kabut para pekerja di gerai tersebut. Semua meja dan kerusi penuh dan keadaan menjadi begitu sesak sehingga menimbulkan ketidakselesaan para pelanggan yang sedang menjamu selera. Agak lama kami menunggu hidangan sampai. Setelah menunggu lebih kurang sejam setengah, barulah makanan yang dipesan sampai.

    Ketika sedang menjamu selera, kami dikejutkan dengan suara seorang perempuan berpakaian baju rasmi KHAR sedang memarahi pekerja gerai tersebut.

        “ Awak pekak ke apa tadi hah! Saya tak order makanan ini semua tadi! Saya order mee hailam! Awak bawa mihun dan tomyam ni kenapa? Teruk betul service kat sini! Baik blah je!” Dengan suara yang lantang perempuan itu melontarkan perkataan yang sungguh tidak enak itu di hadapan ramai orang.

         Pekerja itu kelihatan terpinga-pinga dan kelihatan sangat malu kerana dimarahi sebegitu di hadapan ramai orang. “ Maafkan saya cik, saya tersalah ambik order tadi. Cik tunggu sebentar ye, saya ambikkan order cik di dalam” kata pekerja itu dengan penuh sopan santun.

           “Tak payah! Saya nak balik sekarang! Service sangat teruk! Saya takkan makan di sini lagi!” kata perempuan itu dengan lagak biadabnya.

      Saya berasa sangat geram dengan perangai pelajar perempuan itu. Langsung tiada budi bahasa dalam kata-katanya. Beginikah contoh bakal guru yang akan mendidik anak bangsa? Saya berasa sungguh terkilan dengan sikap pelajar tersebut. Kami semua menggelengkan kepala melihat kelakuannya kerana tidak menyangka ada juga sikap sebegitu rupa.

         Bahasa kasar seperti yang dilontarkan oleh pelajar tersebut sungguh tidak wajar digunakan apatah lagi digunakan di hadapan khalayak ramai. Kita seharusnya berhati-hati dengan apa yang kita tuturkan. Kita perlu sentiasa menjaga percakapan kita agar tidak menyakiti perasaan orang lain dan menimbulkan ketegangan. Lemah lembut dan bersopan dalam bertutur kata tidak akan merendahkan harga diri remaja, sebaliknya menambahkan rasa hormat orang lain terhadap kita dan mengeratkan ukhuwah antara sesama insan.



Yang kurik itu kundi,
 Yang Merah itu saga,
 Yang cantik itu budi,
 Yang indah itu bahasa.

Sekian.

m-5(3): kecek Kelate..

Salam sejahtera.

Entri pada kali ini adalah mengenai loghat Kelantan. Ada diantara perkataan dalam loghat Kelantan yang tak manis didengar pengertiannya dalam loghat di tempat yang lain. Antaranya ialah..


CEBOCK : kita maksudkan 'cedok', selalunya untuk cecair, mencedok
air. Banyak tempat sebelah pantai barat membawa maksud "basuh b***k"
(istinja).

PPATAK : kita maksudkan 'paling bawah'. Mencarut bagi mereka.

JEBO : kita maksudkan 'botol' (kurang popular sebenarnya, tapi org
tua-tua masih guna perkataan ni) Kalau silap dengar, lain
maksudnya.

NYOR KOTER : kita maksudkan "kelapa tua yang kering tak berair"
(ingat slogan CAWAT KOTE?) di kebanyakan tempat, ianya mencarut
juga!!

TTINO : kita maksudkan 'perempuan' tapi bila sebut BETINA, ramai yang
marah.(begitu juga JATE...)

AIR TUAK : kita minum di bulan puasa, buat berbuka!!! Bagi orang
luar, TUAK adalah Haram (sama taraf dengan TODI & ARAK...)Yang fresh
& manis tu dipanggil NIRA.

NNATE : kadangkala "simbol" kemesraan antara kawan. ..cuba gunakan perkataan BINATANG, boleh bergaduh nanti.

SUKU SAKAT : bagi kita,bermaksud "tidak kena mengena", bagi orang KL,
ia bermaksud "kaum kerabat". Seperti juga perkataan
bujang (buje) yang membawa erti janda di kelantan.

SIA = sembuh

Perbezaan loghat kadangkala mampu membawa salah faham di antara penutur loghat yang berbeza. Oleh itu,pentingnya bagi kita untuk mempelajari bahasa Melayu standard yang menjadi wadah penyampaian semua.

Sekian.

m-5(2): Mari belajar bahasa Sabah!


Salam sejahtera.

Malaysia tidak hanya terkenal melalui kepelbagaian kaum dan etniknya malah melalui loghat yang berbeza di setiap negeri. Salah satu loghat yang saya ingin ketengahkan pada entri pada kali ini ialah loghat Sabah. Berikut merupakan antara perkataan-perkataan bahasa Melayu dalam loghat Sabah.


Bubut = kejar
Limpas = lalu
Batapuk = menyorok
Tarabang = Terbang
Tabalik = Terbalik
Limpang = Baring
Karas = Keras
Taru = Simpan/Bubuh
Gumuk = Gemuk
Kusung = Kosong
Talapas = Terlepas
Kaluar = Keluar
Tampat = Tempat
Sisir = Sikat
Sukup = Cukup
Tompiling = Tampar

Sebab wujudnya loghat Melayu Sabah ini adalah kerana pengaruh bahasa ibunda iaitu bahasa Dusun. Walaupun perkataan-perkataan ini adalah salah dari segi penggunaan dalam sebutan baku, namun penggunaan bahasa ini dapat melambangkan jati diri anak watan Sabah. Penggunaannya masih tertumpu kepada bahasa pasar.

Contoh penggunaan ayat bagi perkataan 'limpang':

Bahasa Melayu Sabah = " Saya limpang-limpang di atas katil. "
Bahasa Melayu Standard = " Saya baring-baring di atas katil. "

Kesimpulannya, walaupun kita perlu mendalami bahasa Melayu standard sebagai wadah pengucapan yang formal dan digunapakai dalam bidang kerja, masih wajar bagi kita mengekalkan tradisi nenek moyang yang menentukan jati diri.

Sekian.

m-5(1): sistem panggilan adik-beradik di Perak

Salam sejahera.

Entri pada kali ini berkaitan dengan sistem panggilan adik-beradik di negeri Perak. Sistem panggilan dalam keluarga Melayu sememangnya sudah lama wujud. Sistem ini bertujuan untuk membezakan yang tua sehingga yang muda. Walaubagaimanapun, sistem panggilan ini tidak tegar atau mesti. Maklumat ini diperolehi menerusi seorang rakan saya yang berasal dari Teluk Intan, Perak iaitu Naemah. Pada awal semester yang lalu, saya telah berkunjung ke rumahnya. Adik-beradiknya adalah seramai 10 orang dan terlintas di fikiran bagaimana mereka memberikan gelaran kerana mereka agak ramai. Berikut merupakan sistem panggilan yang digunakan oleh keluarga mereka.

Anak pertama - yop
Anak kedua - nyah
Anak ketiga - alang
Anak keempat - uda
Anak kelima - andak
Anak keenam - anjang
Anak ketujuh - ucu
Anak kelapan - achik
Anak kesembilan - usu
Anak kesepuluh - wan

Sistem panggilan ini secara tidak langsung memupuk rasa hormat yang lebih muda kepada yang lebih tua. Anggota keluarga yang lebih tua akan berasa lebih bertanggungjawab kepada yang lebih muda. Ini sekaligus dapat membuang perasaan kurang ajar dan tidak hormat dalam kalangan adik-beradik.


Sekian.