Shallom dan salam sejahtera.
Entri pada kali ini berkaitan dengan bahasa Sabah yang dikatakan sama dengan bahasa Indonesia. Orang Sabah yang tinggal di semenanjung tentunya amat menyedari tentang hal ini. Masyarakat dari semenanjung yang mengajuk cara orang Sabah bercakap selalunya menggunakan bahasa Indonesia.
Ketika saya dan rakan-rakan dari Sabah menaiki teksi ke gereja pada hari Ahad yang lepas, pemandu tersebut cuba mengajuk bahasa Sabah (dia menyedari bahawa kami adalah orang Sabah kerana kami berbual dalam bahasa Sabah).
Ceritanya bermula begini; saya dan rakan-rakan (4 orang) telah terlewat untuk ke gereja. Oleh itu, kami telah membuat keputusan untuk menaiki teksi sahaja. Namun, oleh kerana kami berlima dan had muatan untuk sebuah teksi hanyalah 4 orang, maka kami pun memberanikan diri bertanya kepada seorang pak cik untuk lebih muatan.
" Pak cik, boleh tak kami berlima naik?"
" Kalau malam, pak cik masih berani bawa penuh. Tapi siang-siang, kalau dilihat sama pak polisi bisa ditangkap kita ".
"Oh, tak apalah pak cik. Kami tunggu teksi lain lagi".
Kami saling berpandangan dan hanya mampu tersenyum mendengar kata-kata pak cik itu. Dalam ayat bahasa Sabah, penggunaan yang betul adalah;
" Kalau polis nampak, nanti kita kena tangkap".
Kata 'pak polisi' dan 'bisa' adalah kata bahasa Indonesia. Selain itu, penggunaan imbuhan di- juga adalah jarang dalam bahasa Sabah. Oleh itu, adalah perlu untuk membezakan antara bahasa Sabah dan bahasa Indonesia bagi mengelakkan salah faham dan rasa tidak kurang senang dalam kalangan rakyat Sabah yang dianggap warganegara Indonesia.
Sekian.
No comments:
Post a Comment